Lambaian Kasih – Majlis Persaraan PK Kokurikulum

Tarikh  : 30/9/2015

Hari     :Rabu

Masa   : 9.00 pagi

Tempat  : Dewan Terbuka SK Kelebang Jaya

Bicara Tentang Pn. Nordi bt. Hassan :

7 Oktober 1959 tercatat sejarah indah
Kampung Sri Jaya memang bumi bertuah
Terlerai penantian bonda yang gundah
Sirna lenyap gelisah resah si ayah

Pada tanggal 7 Oktober 1959, lahirlah seorang bayi perempuan , memecah hening suasana, melebar senyum ayah bonda, Nordi Bt. Hassan diukir nama, penerus legasi maruah keluarga tercinta.
Selepas melunaskan persekolahan di SM Sultan Yusof ,Batu Gajah(1976), Pn. Nordi Hassan telah menyambung pelajarannya di Maktab Perguruan Ipoh, Perak bagi menggapai cita-citanya menjadi seorang pendidik dan beliau telah memilih Bahasa Melayu sebagai bidang pengkhususannya.
Bangun membesar membawa cita
Mencari ilmu menyantun sukma
Membelai minat cinta tercipta
Srikandi bangsa impian utama

Pn. Nordi telah menamatkan kursus perguruannya pada tahun 1984. Pada 1 Januari 1984 bermulalah perjuangannya sebagai pendidik dan telah diamanahkan bertugas di SK Kota Setia, Bagan Datoh,Perak.
Sudah termaktub dalam janji Allah bahawa setiap makhluk itu diciptakan berpasang-pasangan. Justeru, Pn. Nordi juga tidak terkecuali.
Pohon cempedak di tepi titi
Pohon nangka buah sebiji
Apabila sudah berkenan di hati
Akhirnya sepakat mengikat janji
Kata disebut, lafaz disambut. Maka, pada 1 Ogos 1986 termeterailah ikatan setia lena cinta antara Pn. Nordi Bt. Hassan dan pasangannya Abdul Rahim b. Ahmad. Bahtera perkahwinan menjadi lengkap dengan kehadiran lima(5) orang cahaya mata iaitu dua putera dan tiga puteri.

Dalam tempoh masa empat windu atau lebih tiga dasawarsa perkhidmatannya, lantaran suaminya seorang pegawai polis yang kerap bertukar tempat bertugas, beliau telah menabur bakti mendidik, membimbing anak bangsa di sembilan(9) buah sekolah iaitu :
1. SK Kota Setia, Bagan Datoh, Perak – 1/1/1984 – 31/12/1984
2. SK Iskandar Shah, Parit,Perak. – 1/1/1985 – 31/12/1986
3. SK Bakri Batu 5, Muar,Johor – 1/1/1987 – 31/12/1987
4. SK Bandar Maharani,Muar,Johor – 1/1/1988 – 31/7/1990
5. SK Manjoi 1, Ipoh – 1/8/1990 – 31/1/1991
6. SK Sungai Rapat,Ipoh – 1/2/1991 – 31/12/1992
7. SK Hj. Mahmud – 1/1/1993 – 31/8/2002
8. SK Tasek, Ipoh – 1/9/2002 – 31/12/2012
9. SK Kelebang Jaya – 1/1/2003 – 1/10/2015

Pada 30/9/2013, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah ini, SK Kelebang Jaya.

Asam manis dihiris-hiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Tenang-tenag air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Indang-indang padi di Daik
Padi bukit ditampi bertiga
Kalau ada budi yang baik
Takkan sirna disebut juga

Tinggi-tinggi mercu gemilang
Air di laut tenang-tenangan
Budi membukit manakan hilang
Menjadi igau kenang-kenangan

Pihak pentadbir, rakan-rakan guru, staf sokongan, murid-murid, para pekerja dan seluruh warga SK Kelebang Jaya mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan, jasa, pengorbanan, perkongsian ilmu dan kasih sayang puan sepanjang empat(4) windu perkhidmatan keguruan ini. Hanya Allah sahaja yang mampu memberikan ganjaran atas segala kebaikan.
baarakallaahu laka wa baaraka ‘alaika, wa jama’a bainakumaa fii khairin.
“Semoga Allah memberikan berkah kepadamu di saat senang, dan semoga Allah pun memberikan berkah kepadamu di saat duka dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”*)
Semoga sentiasa ceria berbahagia bersama keluarga tercinta. Semoga Allah memuliakan amalanmu. Azhomo allahu ajrak.
‘SELAMAT BERSARA. TERIMA KASIH CIKGU”

 

Leave a reply

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>